Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA gembira puasa BERJAYA MENCAPAI 103 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH MUSLIM

21  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2377.
Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw. katanya: "Biasanya apabila Rasulullah saw. hendak melakukan suatu perjalanan jauh, beliau mengadakan undian di antara para isteri beliau. Siapa yang menang undiannya dialah yang berhak ikut mendampingi Rasulullah saw. dalam perjalanan itu. Pada suatu ketika Rasulullah saw. mengundi kami untuk ikut mendampingi beliau dalam suatu peperangan yang dipimpin beliau sendiri. Aku beruntung, kerana undian ku lah yang keluar sebagai pemenang. Kerana itu akulah yang berhak pergi bersama beliau. Peristiwa ini terjadi sesudah turunnya Ayat Hijab (lihat surat Ahzab, 33:53-59). Lalu aku dinaikkan ke dalam sebuah sekedup dan diturunkan dalam setiap perhentian (tanpa aku keluar tetapi sekedupnya yang diturun naikkan). Setelah selesai perang, Rasulullah saw. serta rombongan pulang kembali ke Madinah (membawa kemenangan). Hampir sampai ke Madinah, beliau memberi izin seluruh pasukan istirehat malam. Ketika istirehat itu, aku keluar dari sekedup dan berjalan menjauhi pasukan untuk buang hajat. Setelah selesai buang hajat aku segera kembali ke pasukan. Ketika aku menyentuh dada ku terasa kalung ku yang terbuat dari permata zhafar buatan Yaman telah putus. Kerana itu aku kembali mencari kalung ku sehingga aku terlambat kembali ke pasukan. Sedangkan para pengawal yang bertugas menjaga ku selama dalam perjalanan telah mengangkat sekedup ku dan menaikkannya ke punggung unta yang ku kenderai (tanpa memeriksa lebih dahulu apakah aku ada di dalam atau tidak) lalu mereka berangkat. Mereka menyangka bahawa aku berada dalam sekedup. Ketika itu berat badan ku sangat ringan. Sehingga kalaupun aku berada dalam sekedup, para pengawal tidak akan merasa lebih berat bila mereka mengangkat sekedup itu. Dan ketika itu aku masih merupakan wanita muda usia. Mereka terus berjalan menggiring unta ku (tanpa aku). Aku mendapatkan kalung ku kembali setelah pasukan berjalan agak jauh. Ketika aku sampai di tempat peristirahatan, ku dapati di sana telah sepi. Aku memutuskan untuk tetap menunggu di tempat ku semula. Kerana aku berpendapat, bila rombongan tidak menemukan ku tentu mereka akan kembali mencari ku. Ketika aku duduk menunggu mereka di tempat itu, aku mengantuk dan tertidur. Kebetulan Shafwan bin Mu'aththal As Sulami ketinggalan pula oleh rombongan kerana dia tertidur. Ketika terbangun dia segera menyusul mereka dan lewat di dekat tempat ku menunggu. Ketika dia terlihat sesusuk tubuh sedang tidur, dia menghampiri dan mengenali ku, dia memang sudah pernah melihat ku sebelum ayat hijab turun. Aku terbangun ketika dia dengan terkejut mengucapkan kalimah istirja' (inna lillaahi wa inna ilaihi raji'un) setelah dia mengenali ku. Dan aku segera menutup muka ku dengan jilbab (kain penutup muka). Demi Allah! Dia tidak pernah mengucapkan sepatah kalimat pun kepada ku selain kalimah istirja' yang menyebabkan aku terbangun. Dia segera menyuruh untanya menunduk, dan aku disilakannya menaiki kenderaan itu. Sedangkan dia sendiri berjalan kaki menuntun unta sampai induk pasukan tersusul oleh kami sesudah mereka berhenti berehat dari terik panas tengah hari. Tetapi sungguh celakalah orang yang sengaja membuat fitnah terhadap diri ku mengenai peristiwa itu, yang diikhtiarkan oleh pemimpin mereka 'Abdullah bin Ubay bin Salul. Setelah kami sampai di Madinah aku jatuh sakit sebulan lamanya. Sementara itu dalam masyarakat telah meluas khabar bohong mengenai diri ku. Sedangkan aku tidak tahu berita itu telah meluas sedemikian rupa kerana aku sedang sakit. Tetapi ada suatu hal yang membimbangkan ku, ialah sikap Rasulullah saw. yang tidak memperlihatkan kasih sayang seperti biasanya kalau aku sedang sakit. Beliau pernah datang menengok ku sekali, setelah memberi salam beliau bertanya, "Bagaimana keadaan mu?" Itulah yang membimbangkan ku. Aku tidak mengetahui sama sekali heboh mengenai diri ku, sampai pada suatu hari setelah aku agak sembuh, aku pergi bersama Ummu Misthah ke lapangan di pinggir kota untuk buang hajat. Kerana memang di sanalah tempat kami buang hajat. Dan kami tidak pergi ke sana kecuali hanya pada malam hari saja. Yang demikian itu ialah sebelum kami membuat tempat tertutup di sekitar rumah kami. Memang sudah menjadi kebiasaan orang Arab pada masa dahulu, kalau buang hajat pergi ke lapangan di pinggir kota. Kerana mereka merasa jijik membuat tempat tertutup di sekitar rumah mereka. Ummu Misthah (nama aslinya Salma), ialah anak perempuan Abu Ruhma bin Muththalib bin Abdu Manaf. Sedangkan ibunya ialah anak perempuan Shakhar bin Amir bibi Abu Bakar Siddiq. Anak lelakinya ialah Misthah Ibnu Utsatsah bin Abbad bin Muththalib. Ketika kami pulang setelah selesai buang hajat, Ummu Misthah tersandung sandalnya lalu dia menyumpah: "Celaka si Misthah." katanya. Maka ku tegur dia, "Tidak baik berkata begitu. Bukanlah engkau memaki orang yang ikut dalam peperangan Badar?" Jawab Ummu Misthah, "Alangkah bodohnya engkau! Apakah engkau tidak mendengar apa yang dikatakannya?" Tanya ku, "Apa yang dikatakannya?" Dia menghabarkan kepada ku omongan tukang-tukang fitnah (yang memburuk-burukkan diri mu)." Semenjak aku mendengar berita Ummu Misthah itu, sakit ku semakin menjadi-jadi. Ketika Rasulullah saw. datang ke rumah ku, beliau memberi salam, lalu dia bertanya, "Bagaimana keadaan sakit mu?" Lalu aku bertanya kepada beliau, "Sudikah Tuan mengizinkan aku pulang ke rumah orang tua ku?" Kata 'Aisyah, "Sebenarnya aku ingin hendak menanyakan kepada orang tua ku kebenaran berita yang disampaikan Ummu Misthah kepada ku." Ternyata Rasulullah saw. mengizinkan ku, lalu aku pulang ke rumah orang tua ku dah bertanya kepada ibu ku, "Wahai ibu! Benarkah ada berita buruk yang dipercakapkan orang mengenai diri ku?" Jawab ibu, "Wahai anak ku sayang! Jangan engkau hiraukan. Demi Allah, jarang sekali wanita cantik yang disayangi suaminya, padahal dia mempunyai banyak madu yang tidak diomongi orang." "Subhanallah!" kata ku. "Kalau begitu, memang benarlah kiranya orang banyak mempercakapkan ku." Malam itu aku menangis semalam-malaman sampai Subuh. Air mata ku mengalir tak dapat ditahan dan aku tak dapat tidur kerananya. Sementara itu Rasulullah saw. memanggil Ali bin Abi Thalib dan Usamah bin Zaid untuk bermusyawarah dengan mereka - kerana waktu itu wahyu terhenti - Beliau bermusyawarah dengan keduanya apakah beliau harus menceraikan ku atau tidak. Usamah bin Zaid menyatakan pendapatnya, bahawa dia tahu benar para isteri Rasulullah saw. semuanya suci (setia) dan dia tahu benar mereka semuanya mencintai Rasulullah saw. Katanya, "Mereka adalah para isteri Anda. Aku yakin benar bahawa semuanya adalah para isteri yang setia." Adapun 'Ali bin Thalib berkata, "Allah Ta'ala tidak akan mempersulit Anda. Masih banyak wanita selain dia ('Aisyah). Tika Anda menghendaki seorang gadis, tidak seorang pun yang akan menolak Anda." Kemudian beliau panggil pula Barirah (pembantu rumah tangga 'Aisyah), lalu beliau bertanya, "Hai Barirah! Adakah engkau melihat sesuatu yang mencurigakan mengenai diri 'Aisyah?" Jawab Barirah, "Demi Allah yang mengutus Anda dengan agama yang benar. Sungguh, aku tidak melihat sedikit pun yang mencemarkan dirinya, selain hanya dia itu seorang wanita muda yang manja, yang pergi tidur meninggalkan adonan kuih, lalu datang haiwan peliharaan (kucing atau kambing) memakan adonan itu." Kemudian Rasulullah saw. berpidato di mimbar, menyatakan keberatannya atas tuduhan yang diprarasai Abdullah bin Ubay bin Salul." Sabda beliau di mimbar, "Hai kaum muslimin! Siapakah di antara tuan-tuan yang setuju dengan penolakan ku atas tuduhan yang telah mencemarkan nama baik keluarga ku? Demi Allah, aku yakin keluarga ku bersih dari tuduhan kotor yang tidak benar itu. Mereka juga telah menyebut-nyebut seorang lelaki (Shafwan bin Mu'aththai As Sulami) yang aku yakin bahawa dia itu orang baik. Dia tidak pernah masuk ke rumah ku kecuali bersama ku." Maka berdirilah Sa'ad bin Mu'adz Al Anshari, lalu dia berkata, "Aku membela Anda dalam masalah ini, ya Rasulullah! Jika tuduhan itu datang dari suku Aus, kami penggal lehernya. Dan jika datangnya dari saudara-saudara kami suku Khazraj, kami menunggu perintah Anda. Apa yang Anda perintahkan segera kami laksanakan." Maka berdiri pula Sa'ad bin Ubadah, pemimpin suku Khazraj dan seorang yang soleh tetapi diperdayakan oleh rasa kesukuan. Lalu dia berkata kepada Sa'ad bin Mu'adz, "Engkau bohong! Demi Allah, engkau tidak boleh membunuhnya dan memang engkau tidak sanggup melakukannya." Maka bangun pula Usaid bin Hudhair, anak pakcik Sa'ad bin Mu'adz. Katanya kepada Sa'ad bin Ubadah, "Engkaulah yang bohong! Demi Allah! Bila saja dan di mana saja kami sanggup membunuhnya! Engkau munafik, kerana engkau membela orang-orang munafik!" Pertengkaran antara suku Aus dan Khazraj itu menjadi hangat, sehingga hampir terjadi perkelahian antara mereka. Tetapi Rasulullah saw. yang masih berdiri di mimbar dapat menenangkan mereka sehingga mereka diam. Kata Aisyah selanjutnya, "Sehari-harian kerja ku hanya menangis dan menangis siang malam. Sehingga kedua orang tua ku cemas, kalau-kalau jantung ku pecah kerana menangis. Selama aku menangis, kedua orang tua ku selalu berada di samping ku. Tiba-tiba seorang perempuan Ansar minta izin hendak bertemu dengan ku, lalu ku izinkan dia masuk. Setelah dia masuk, dia pun menangisi ku (menambah kesedihan ku). Sementara itu Rasulullah saw. pun datang. Beliau memberi salam, lalu duduk di samping ku. Sejak berita bohong itu tersiar, beliau tidak pernah duduk di samping ku. Dan sudah sebulan wahyu tidak turun kepada beliau. Iaitu semenjak peristiwa ku ini. Ketika beliau duduk di samping ku, mula-mula beliau membaca tasyahhud. Kemudian beliau bersabda: "Hai 'Aisyah! Telah sampai kepada ku berita mengenai diri mu begini dan begitu. Jika engkau bersih dari tuduhan itu maka Allah Ta'ala akan membebaskanmu. Jika engkau memang berdosa, Minta ampunlah kepada Allah Ta'ala dan taubatlah kepadaNya. Kerana apabila seorang hamba sadar bahawa dia telah berdosa, kemudian dia taubat, nescaya Allah menerima taubatnya." Setelah ucapan beliau itu selesai diucapkannya, air mata ku mengambang dan tak tertahankan oleh ku dia jatuh berderai. Aku berkata kepada bapa ku. "Pak, tolonglah aku menjawab sabda Rasulullah." Jawab bapa ku, "Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus ku ucapkan kepada Rasulullah." Kemudian ku minta ibu ku, "Ibu, tolonglah aku menjawab sabda Rasulullah sebentar ini." Jawab ibu ku, "Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus ku katakan kepada Rasulullah." Maka terpaksalah aku sendiri yang harus menjawabnya. Kata ku, "Aku ini adalah seorang wanita muda usia yang belum banyak mengetahui isi Al Quran. Demi Allah! Sekarang aku telah tahu bahawa Anda telah mendengar berita mengenai tuduhan terhadap diri ku, sehingga tuduhan itu tertanam dalam diri Anda dan nampaknya Anda seperti membenarkan berita itu. Walaupun aku mengatakan kepada Anda aku bersih dari tuduhan itu - demi Allah, hanya Allah sajalah yang maha tahu bahawa aku memang bersih Anda tentu tidak akan mempercayai ku juga. Dan seandainya aku mengatakan bahawa aku telah bersalah dan berbuat dosa, - demi Allah, Dia jugalah yang Maha Tahu bahawa aku bersih lentil Anda akan mempercayainya. Demi Allah! Aku tidak memperoleh sebuah contoh pun yang paling tepat mengenai peristiwa ini, selain ucapan yang diucapkan Nabi Ya'qub, bapa Nabi Yusuf, katanya : Sabar jualah yang paling indah, dan hanya Allah sajalah tempat minta tolong atas segala tuduhan yang dituduhkan mereka." Kemudian aku berpaling dan berbaring di tempat tidur ku. Kata 'Aisyah selanjutnya, "Demi Allah! Aku benar-benar bersih dari tuduhan itu, dan aku yakin bahawa Allah Ta'ala akan membersihkan nama baik ku dari tuduhan itu. Namun sejauh itu demi Allah, aku tidak menduga sama sekali bahawa Allah akan menurunkan wahyu dalam kaitannya dengan kes yang sedang ku hadapi ini. Sehingga akhirnya wahyu itu selalu kita baca. Kerana kes itu sangat cemar terasa oleh ku dibanding dengan keagungan firman Allah Ta'ala yang selalu kita baca. Tetapi aku berharap semoga Rasulullah saw. dapat melihat dalam mimpi beliau, di mana Allah Ta'ala memperlihatkan kepada beliau bahawa aku sungguh-sungguh bersih. Maka demi Allah, belum lagi Rasulullah saw. meninggalkan tempat duduknya, dan belum seorang jua pun yang keluar dari rumah kami, Allah Ta'ala menurunkan wahyu kepada Nabinya. Terlihat Nabi saw. seperti orang yang keberatan memikul beban berat, sebagai biasanya bila wahyu sedang diturunkan kepada beliau, sehingga beliau bersimbah peluh. Ketika Wahyu telah selesai turun, Rasulullah saw. tertawa. Kalimat yang mula-mula diucapkannya ialah: "Gembiralah, wahai 'Aisyah! Allah Ta'ala telah mengatakan bahawa engkau sungguh-sungguh bersih dari tuduhan itu." Lalu berkata ibu ku kepada ku, "Bangunlah engkau, nak! Mintalah maaf kepada beliau!" Jawab ku, "Demi Allah! Aku tidak perlu minta maaf kepada beliau. Aku hanya wajib memuji Allah, kerana Dialah yang menurunkan wahyu yang menyatakan bahawa aku memang bersih dari tuduhan kotor itu. Wahyu itu tersebut turun dalam Al Quran, surat An Nur sebanyak sepuluh ayat: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong ini adalah dari golongan kamu juga (lihat An Nur, 24 : 11 20). Kata 'Aisyah selanjutnya, "Selama ini Misthah dibelanjai oleh (bapa ku) Abu 'Bakar Siddiq sebagai keluarga dekat bapa. Semenjak kes itu terjadi, bapa ku bersumpah akan menghentikan bantuannya kepada Misthah untuk selama-lamanya. Maka turun pula wahyu yang melarang penghentian bantuan itu: "Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabatnya....sampai dengan...Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampuni mu?" (An Nur, 24:22). Berkata Hibhan bin Musa, kata Abdullah bin Muharak. "Inilah ayat yang istimewa di dalam kitab Allah." Maka berkata Abu Bakar, "Demi Allah! Aku lebih suka mendapat ampunan Allah Ta'ala." Maka nafkah untuk Misthah diteruskannya kembali. Dan aku tidak pernah menghentikan nafkah untuk Misthah sepeninggal beliau."

22  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1786.
Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Ketika Rasulullah saw. pergi ke Badar, maka tatkala beliau sampai di Harratil Wabarah, beliau ditemui oleh seorang lelakii yang terkenal gagah berani. Para sahabat Rasulullah saw. merasa gembira ketika melihat kedatangannya. Dia berkata kepada Rasulullah saw., "Aku sengaja mengikuti Anda, kerana ingin berperang di pihak Anda dan bersama-sama dengan Anda." Tanya Rasulullah saw., "Apakah Anda sudah iman dengan Allah dan Rasul-Nya?" Jawab orang itu, "Tidak!" Sabda Nabi saW., "Kembalilah Anda! Aku sekali-kali tidak membutuhkan pertolongan orang musyrik." Kata 'Aisyah, "Maka pergilah orang itu." Tetapi setelah kami sampai dekat sebatang pohon, orang itu datang kembali menemui Rasulullah saw., lalu dia berkata pula seperti semula. Maka bertanya pula Rasulullah saw. kepadanya seperti semula. Sabda beliau, "Pergilah Anda! Aku sekali-kali tidak memerlukan pertolongan orang musyrik." Maka pergilah dia. Kemudian, tatkala kami sampai di Baida', dia datang kembali. Rasulullah bertanya pula kepadanya seperti semula, "Apakah anda sudah beriman dengan Allah dan Rasul-Nya?" Jawab orang itu, "Ya, aku beriman!" Maka bersabda Rasulullah saw., "Mari, Teruslah jalan!"

23  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1740.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. mengirim pasukan berkuda ke arah Nejed. Mereka dapat menawan dan membawa seorang lelaki dari Bani Hanifah, iaitu Tsumamah bin Utsal, pemimpin penduduk Yamamah. Tawanan itu mereka ikatkan di sebuah tiang di antara tiang-tiang masjid. Rasulullah saw. keluar mendapatkannya seraya berkata, "Apa khabarmu, hai Tsumamah?" Jawab Tsumamah, "Khabar ku baik-baik saja hai Muhammad. Jika engkau membunuh ku, bererti engkau menumpahkan darah; jika engkau membebaskan ku, engkau membebaskan seorang yang pandai berterima kasih. Jika engkau mengingini harta, mintalah, akan ku berikan berapa engkau kehendaki. Kemudian dia ditinggal oleh Rasulullah saw. Esok beliau bertanya pula kepadanya, "Apa khabarmu, hai Tsumamah?" Jawab Tsumamah, "Seperti telah ku katakan kepada mu, jika engkau membebaskan ku, maka engkau membebaskan orang yang tahu berterima kasih. Dan jika engkau membunuh ku, bererti engkau menumpahkan darah. Jika engkau ingin harta, mintalah berapa engkau kehendaki, akan ku berikan. Rasulullah saw. meninggalkannya pula sampai esok, kemudian beliau bertanya pula, "Apa khabarmu, hai Tsumamah? Jawab Tsumamah, "Khabar ku seperti yang telah ku katakan kepada mu. Jika engkau bebaskan aku, engkau membebaskan orang yang tahu berterima kasih, jika engkau membunuh ku, bererti engkau menumpahkan darah. Jika engkau ingin harta, mintalah, akan ku beri berapa engkau kehendaki." Maka bersabda Rasulullah saw., "Bebaskan Tsumamah!" Kemudian Tsumamah pergi ke sebatang pohon kurma dekat masjid, lalu dia mandi. Setelah itu dia masuk ke dalam masjid, dan mengucapkan dua kalimah syahadah: Asyhadu anlaa ilaaha illallah, asyhadu anna Muhammadan 'abduhu Rasuluh. (Aku mengaku tidak ada Tuhan selain Allah dan aku mengaku bahawa Muhammad hamba Allah dan RasulNya). Ya, Muhammad! Demi Allah, tadinya tidak ada seraut wajah yang paling ku benci di muka bumi ini selain wajahmu. Tetapi kini, wajahmulah yang paling ku cintai di antara seluruh wajah. Demi Allah, tadinya tidak ada agama yang paling ku benci selain agamamu. Tetapi kini, agamamulah yang paling ku cintai daripada sekalian agama. Tidak ada negeri yang paling ku benci selain dari negerimu ini. Tetapi kini, negeri inilah yang paling ku cintai daripada sekalian negeri. Ketika pasukan berkuda mu menangkap ku, aku bermaksud hendak pergi umrah. Sekarang bagaimana pendapatmu?" Rasulullah menyampaikan berita gembira kepadanya, sesudah itu beliau menyuruhnya pergi umrah. Sesampainya di Mekah orang bertanya kepadanya, "Apakah engkau pindah agama?" Jawabnya, "Tidak! Tetapi saya memeluk agama Islam bersama-sama Rasulullah saw. Demi Allah! Janganlah kamu harap, sebiji gandum pun tidak akan datang kepada mu dari Yamamah, sebelum mendapat izin dari Rasulullah saw."

24  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0944.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Tidaklah menggembirakan ku, seandainya aku punya emas sebesar bukit Uhud, jika pada hari ketiga emas itu masih bersisa pada ku satu dinar selain yang telah ku sediakan untuk membayar hutangku."

25  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0772.
Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika Jibril sedang duduk di samping Nabi saw., tiba-tiba kedengaran suatu bunyi seperti pintu sedang dibukakan orang. Lalu diangkatnya kepalanya, seraya berkata : "Nah! Inilah pintu langit dibukakan hari ini, di mana sebelumnya tidak pernah dibuka melainkan baru hari ini." Dari pintu itu turun malaikat. Kata Jibril, "Inilah malaikat turun ke bumi, di mana dia tidak pernah turun sebelumnya, melainkan baru hari ini." Setelah malaikat itu memberi salam, lalu dia berkata, "Gembirakanlah umatmu dengan dua cahaya yang kedua-duanya hanya diturunkan kepada mu, dan tidak pernah diturunkan kepada para Nabi sebelum kamu, iaitu: surat Al Fatihah dan ayat-ayat penutup surat Al Baqarah (ayat: 284 - 286). Tidak satu huruf pun yang anda baca dari keduanya, melainkan akan diberikan pahalanya kepada anda."

26  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1835.
Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Tidak satu pun orang yang telah mati, pada hal dia telah memperoleh pahala yang menggembirakan di sisi Allah, yang ingin kembali ke dunia sekalipun dunia dan seluruh isinya diberikan kepadanya, kecuali orang yang mati syahid. Orang mati syahid itu ingin kembali ke dunia, kerana dia ingin sekali lagi sebagai syuhada kerana dia telah melihat bagaimana mulianya mati syahid."

27  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2271.
Dari Abu Dzar r.a. katanya: "Seseorang bertanya kepada Rasulullah saw., "Bagaimana pendapat Anda, ya Rasulullah, tentang seorang lelaki yang melakukan amal kebajikan, lalu dia dipuji orang banyak." Jawab Rasulullah saw., "Pujian seperti itu adalah pendahuluan berita gembira bagi orang mukmin."

28  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2109.
Dari Abu Qatadah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya: "Mimpi yang baik datang dari Allah, dan mimpi yang buruk dari syaitan. Maka siapa bermimpi yang dibencinya, hendaklah dia meludah ke kiri, kemudian berlindung kepada Allah dari kejahatan syaitan, nescaya tidak akan membahayakannya. Dan jangan menceritakan mimpi itu kepada siapa pun. Maka siapa bermimpi dengan mimpi yang buruk, bergembiralah dan jangan mencerita-ceritakannya kecuali kepada orang yang dikasihi."

29  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2415.
Dari 'Aisyah r.a. isteri Rasulullah saw., dia mengkhabarkan bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Tingkatkan amalmu dengan baik, atau lebih dekatlah kepada kebaikan, dan bergembiralah, kerana amal seseorang tiada dapat memasukkannya ke syurga." Tanya para sahabat, "Amal Anda juga begitu, ya Rasulullah?" Jawab beliau, "Amal ku juga begitu. Tetapi Allah Ta'ala melimpahi ku dengan rahmat-Nya. Dan ketahuilah, bahawa amal yang paling disukai Allah Ta'ala ialah amal yang dikerjakan secara terus-menerus (kontinyu) walaupun sedikit."

30  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1976.
Dari Ibnu 'Umar r.a. katanya: "Umar (bin Khaththab) melihat 'Utharid At Tamimi berdiri di pasar mempamerkan sebuah baju sutera. 'Utharid adalah seorang lelaki yang berdekatan dengan para raja dan memperoleh baju itu dari mereka. Kata 'Umar. "Aku melihat si 'Utharid berdiri di pasar mempamerkan sebuah baju sutera. Alangkah bagusnya seandainya Anda beli untuk memakainya di saat menerima para utusan Arab yang datang menghadap Anda, agaknya beliau mengatakan pula, dan untuk Anda pakai berkhutbah hari Jumaat - Jawab Rasulullah saw., "Yang memakai sutera di dunia hanyalah orang yang tidak dapat bahagian di akhirat." Tidak berapa lama sesudah itu Rasulullah saw. diberi orang beberapa helai pakaian sutera. Lalu beliau kirimkan kepada Umar sehelai kepada Usamah bin Zaid sehelai, dan beliau berikan kepada Ali bin Abi Thalib sehelai seraya kata beliau kepada Ali, "Potong baju itu untuk selendang isterimu!" Umar datang kepada beliau membawa baju sutera yang dikirimkan Nabi saw. untuknya. Kata 'Umar, "Ya, Rasulullah! Untuk apa Anda kirimi aku baju sutera ini? Bukankah kelmarin Anda telah berkata kepada ku tentang baju yang dipamerkan si 'Utharid?" Jawab Rasulullah saw., "Aku tidak mengirimkannya kepada mu untuk kamu pakai, tetapi ku kirimkan supaya engkau manfaatkan dalam memenuhi keperluanmu." Adapun Usamah, dengan gembira dipakainya baju itu. Kerana itu Rasulullah saw. memandang kepadanya dengan pandangan yang menunjukkan beliau tidak setuju dengan perbuatan Usamah itu. Kata Usamah, "Ya, Rasulullah! Mengapa Anda memandang ku seperti itu, bukankah Anda yang mengirimi ku baju ini?" Jawab Rasulullah saw., "Aku tidak mengirimkannya untuk kamu pakai sendiri tetapi supaya engkau potong menjadi selendang isteri mu."